"Hidup ini adalah pilihan.. Pilihlah yang terbaik untuk agamamu.. Allah sayang padamu!"

Kuda





"Cantiknya wallpaper nta..." puji Muzammil bila melihat ke laptop Karim.



"Uish... memang le.. kita kan kena jadikan Al-Quran sebagai panduan kita. Di laptop pun kena le ada ayat-ayat Quran, baru nampak muslim" jawab Karim bangga..



"Err... apa maksud ayat tu ye?" soal Muzammil semula sambil merujuk kepada ayat 1-4 surah Al-Adiyat yang tertera di desktop Karim.



"Ayat yang ni ye... Owh... ana pun tak tahu. Saje ambil gambar ni buat wallpaper.. Lawa tengok gambar kuda tue.." dalih Karim sambil tersengih lalu menutup desktopnya. Mungkin segan kerana tidak tahu menjawab persoalan itu.



Hakikatnya... bukan Karim sahaja yang begitu, ana yakin ramai lagi di luar sana mengalami permasalahan yang sama, iaitu memahami konteks ayat!



Ayat al-Quran jelasnya adalah firman Allah. Jadi, sesuatu yang datang dari Allah sudah pasti benar dan pasti ada maksudnya.



Namun, di kalangan umat Islam, terutamanya yang bukan berbahasa Arab, walaupun Al-Quran sudah di khatam beberapa kali, namun masih belum memahami pengertian Quran....

Faktor utamanya bagi ana ialah, penguasaan bahasa dan pemahaman konteks ayat.



Jujurnya, ana sendiri bila baca berulang-ulang kali ayat dari surah Al-Adiyat dari 1 hingga 5 hanya dapat menangkap akan sifat-sifat kuda. Tiba-tiba di ayat keenam,Allah menceritakan pula tentang manusia yang kufur. Apa kaitannya dengan kuda? Cuba juga memerah otak memikirkan hikmah ayat tersebut. Walaupun ana buntu, sama sekali tidak menjadikannya alasan untuk putus asa dari terus menerus untuk berfikir.



Alhamdulillah, penjelasan dari ulama iaitu Ustaz Sidek Nor amat membantu. Benarlah bahawa Ulama' itu pewaris nabi. Pagi tersebut ana terasa begitu seronok mendengar kupasan tafsir mengenai ayat tersebut.



Rupa-rupanya, Allah ingin menceritakan kehebatan kuda. Seperti mana yang terjadi ketika Pasukan Tentera Turki Uthmaniyyah keluar berjihad. Kuda itu bila berlari di waktu malam , malam bertukar menjadi siang dek kerana percikan api yang keluar dari besi di kaki kuda. Sungguh gagah.



Dan bila kuda itu keluar pula pada sebelah siang, siang bertukar menjadi malam dek debu-debu yang berterbangan yang disebabkan hentakkan kaki kuda.



Dan yang paling menarik tentang kuda ialah, dia berani merempuh di tengah-tengah musuh seperti yang di gambarkan dalam ayat kelima surah Al-Adiyat. Taatnya kuda itu pada arahan tuannya walaupun sedar nyawanya akan tergadai.



Namun, di sebalik kepatuhan, kegagahan dan kekuatan kuda tersebut, dia hanya diberi makan RUMPUT KERING sahaja. Bahkan, tempat tidurnya hanya bangsal tidak bertutup yang dihurungi nyamuk dan lalat tanpa disemburkan ubat nyamuk. Tiada tilam empuk untuknya dan hanya tidur dalam keadaan berdiri.



Walaupun dilayan dengan "sebegitu teruk" oleh tuannya, namun dia tetap taat dan sentiasa bersedia untuk mengorbankan dirinya dalam peperangan.



Sebab itu, pada ayat ke enam, Allah terus katakan bahawa manusia itu kufur kepada Tuhannya.



Kenapa?



Kerana manusia itu dilayan dengan lebih baik berbanding kuda tapi tidak taat kepada arahan tuannya.



Manusia tidak diberi makan RUMPUT KERING!



Manusia tidur di bilik ber aircond dan diatas tilam yang empuk!



Tiba-tiba, bila sampai seruan jihad, manusia engkar?



Kata Ustaz Sidek, manusia patut malu pada kuda! Kita semua patut malu pada kuda... Kerana kuda sanggup korbankan dirinya walaupun tidak dilayan semulia manusia.



Bagi ana, yang malang disini adalah kita, umat Islam yang berbangsa melayu. Kerana, peringatan yang sebegini hebat langsung tidak diambil manfaat dengan baik, walaupun ianya hebat tersergam di hadapan laptop kita!



Bukan itu sahaja, cuba tanyakan kepada diri sendiri dan rakan-rakan di sekeliling, maksud surah al-fatihah... Berapa ramai yang mampu untuk membaca terjemahan dan tafsir surah tersebut... sedangkan kita mengulang bacanya sebanyak 17 kali sehari...



Ini adalah satu bukti mudah bahawa, umat Islam melayu suka mengambil mudah benda yang ada dihadapan mata mereka. Atau dalam "bahasa kasarnya", malas berfikir! Tidak suka mencabar pemikiran! Tidak mahu memahami KONTEKS AYAT!




Jangan kufur nikmat tuhan yang paling hampir dengan manusia, iaitu akal. Malulah dengan kuda.....

p/s: artikel ni copy paste (dengan izin) dari junior saya yang hebat. Lame dah tak tadabbur ayat. Rindunye nak usrah. Selalu sibuk dengan program, takde pengisian rohani memang tidak bagus. Semangat perjuangan lahir dari kekuatan dalaman, spiritual kita. Jika tidak, kita akan mudah kecundang na'udzubiLlah. Moga kita sama-sama mendapat manfaat.

0 comments:

Post a Comment

Apa komen anda...?