Adakah Duniaku Untuk Akhiratku?
Salam. Good day.
Manusia Allah ciptakan akan menempuhi 4 alam;
1. Alam kandungan (rahim)
2. Alam Dunia
3. Alam Kematian
4. Alam Akhirat
Allah ciptakan manusia hidup di dalam rahim ibu hanya sekejap sahaja, sekitar 9 bulan sahaja. Paling lama 12 bulan iaitu Imam Syafie. Maka selepas itu, manusia akan dilahirkan ke dunia ini.
Ketika dilahirkan kita tidak mengetahui apa-apa. Kita akan belajar sendiri dan di didik oleh ibubapa. Jika dilihat baby akan bertatih berusaha menjalani proses pembesarannya. Sebagai contoh, baby yang ingin belajar berjalan. Pada mulanya memang nampak kesusahan untuk belajar. Dari duduk, mereka akan berpaut pada kerusi atau tiang untuk berdiri. Selepas itu mereka akan melepaskan tangan untuk berjalan. Selangkah dua langkah mereka terjatuh. Silap haribulan, terhantuk atau jatuh terlentang. Mereka akan menangis kesakitan. Tetapi mereka seolah tidak ‘serik’ dan terus belajar berjalan sehingga lah pandai... terus berusaha lagi dan lagi...
Dalam dunia ni, walaupun kita keturunan Syed, Sheikh, Wan, Nik, Sir atau apa-apa sahaja lah gelaran kehormatnya.. seandainya tidak berusaha maka tiada lah kita mampu mengecapi kejayaan dalam hidup. Walaupun ibubapa orang hebat, tapi jika malas dan tidak mahu berusaha maka tiada gunanya. Kita tidak mampu mewarisi kejayaan mereka. Sepertimana iman tak dapat diwarisi. Jika ayahnya imam hebat, adakalanya anak-anak menjadi penagih dadah, jadi penjenayah. Begitulah manusia, Allah telah meletakkan tanggungjawab ke bahu masing-masing, tinggal usaha je..
Dalam kita menjalani hidup sebagai insan di dunia ini, ada 4 tanggungjawab yang perlu kita tempuhi;
1. Kita hidup sebagai hamba Allah. Pengabdian hanya kepadaNya, sepanjang hidup.
2. Manusia sebagai khalifah di muka bumi. Disebut khalifah adalah bermaksud pengganti yang baik, bukan khalufun yang bermaksud pengganti yang jahat.
3. Memikul amanah Allah iaitu Islam.
4. Pelihara serta menjaga sistem yang Allah sediakan supaya memberi kemakmuran dan tidak mendatangkan mudharat.
7 syarat untuk menjadi insan yang beruntung dunia Akhirat;
1. Ikhlas setiap perbuatan
2. Itqan (teliti dan bersungguh-sungguh)
3. Siddiq (benar) dan amanah setiap perbuatan dan pekerjaan yang dikerjakan.
4. Berakhlak dengan Akhlak Islamiyyah
5. Hidup mengikut syariat Allah Taala.
6. Kena sedaya upaya menjauhkan diri daripada perkara yang syubhat (diragukan halal haramnya).
7. Ukhuwwah Islamiyyah. Kita hidup dan kerja bukan untuk manfaat diri sendiri, tetapi untuk kebaikan orang lain juga. Kita mesti menjadi AIR MUTLAK yang suci malah menyucikan. Seandainya kite baik, maka kita akan berusaha menjadikan kawan dan orang sekeliling kita juga baik dan suci. Mampu menarik orang lain untuk mencintai Islam dan kebaikan. Bukannya menjadi AIR MUSTA’MAL iaitu air yang suci tapi tidak menyucikan. Tiada sumbangan untuk kita meninggikan agama Allah. Tidak juga menyumbang untuk kebaikan ummah keseluruhan. Na’udzubiLlah.
Selain itu, ada disebutkan 3 golongan yang baik di dunia tetapi dihumban ke dalam api neraka. Kehadiran mereka ini ke dalam neraka amat mengejutkan penghuni neraka sebelumnya kerana mereka ini dipandang mulia dan soleh ketika di dunia dulu. Lebih mengejutkan kerana azab yang ditimpakan lebih dahsyat hingga segala isi perut terburai.. Mereka itu adalah;
1. Orang yang kaya raya lagi dermawan.
- Tetapi malangnya, kerja yang mereka lakukan adalah untuk mendapat pujian bahawa mereka lah dermawan dan banyak harta.
2. Orang yang suka membaca al-quran
- Mereka ini mahu supaya orang memuji suara mereka sedap, mereka lah yang pandai mengaji dengan hebatnya.
3. Orang yang suka mengajar
- Tidak melaksanakan apa yang diajar. Menyuruh orang berbuat kebaikan, tetapi diri sendiri masih bergelumang dengan dosa. Na’udzubiLlah.
Oleh sebab itu, setiap pekerjaan perlunya kita bergantung sepenuhnya (tawakkal) kepada Allah. Bukan atas ikhtiar kita semata-mata. Contohnya, kita pernah melihat ada kalangan kawan-kawan kita yang study siang malam, bersengkang mata untuk menghadapi peperiksaan. Tetapi akhirnya tidak berjaya juga. Pernah seorang senior saya, kerjanya siang malam menghadiri mesyuarat, usrah, program sana, program sini. Boleh dikira berapa sikitnya masa dia luangkan untuk belajar. Dia memang susah hati, kerana tidak sempat study untuk ujian. Tetapi pada masa yang sama dia tidak mampu melepaskan tanggungjawab di atas amanah-amanah yang dipikulnya itu. ketika menjawab paper, hanya bergantung pada Allah dan ilmunya sepanjang pengajian.. tapi percayakah anda semua, dialah best student untuk paper ujian tersebut! Ada seorang lagi senior saya yang menghadapi situasi begini. Dia mendapat kelulusan third class CGPA akhirnya di U. Entah mana silapnya. Mungkin tidak sempat study. Mungkin cuai. Mungkin..macam-macamlah. Tetapi, dia seorang yang amanah, naqib yang baik..sentiasa menjaga kebajikan anak usrahnya. Pemimpin yang baik, mampu menjaga amanah yang diberikan dengan baiknya. Sesungguhnya rezeki Allah itu Maha Luas. Dia merupakan antara batch pertama mendapat kerja daripada para graduan yang sama dengannya! Apa rahsianya mereka berdua ini? Ya, tawakkal. Sebab itu, kita perlu yakini.. USAHA+DOA+TAWAKKAL=KEJAYAAN. InsyaAllah.
Oleh sebab itu, setiap perbuatan mahupun pekerjaan kita mestilah;
1. Takut kepada Allah
2. Harap (bergantung) kepada Allah.. insyaAllah
Akhir sekali, untuk menjadi insan yang bahagia, perlulah MENJAUHI 4 tanda berikut;
1. Mata yang tidak pernah menangis kerana Allah (bukan menangis ditinggalkan pakwe/makwe).
2. Hati yang keras menerima kebaikan dan kebenaran.
3. Terlampau cakna dengan urusan dunia, lupakan Akhirat.
4. Berkekalan membuat dosa.
p/s: ini adalah petikan kuliah dari Ustaz Kamaruzzaman. Ini sahaja yang mampu saya sampaikan kepada anda semua. Moga semua mendapat manfaat dan dimanfaatkan. insyaAllah.
0 comments:
Post a Comment
Apa komen anda...?