"Hidup ini adalah pilihan.. Pilihlah yang terbaik untuk agamamu.. Allah sayang padamu!"

Berbahagialah Sang Ghuraba'




by Nasrudin Hassan on Sunday, April 3, 2011 at 4:17am



1. Perjuangan Islam bermula dalam keadaan asing atau dagang [gharib]. Berdepan dengan manusia jahiliah yang rendah upaya untuk membezakan antara haq dan bathil. Sistem nilai yang kabur diselaputi fahaman syirik dan kebendaan. Mereka merajakan nafsu dan mempertuhankan aqal. Rasuulul ummah saw. sebagai utusan Allah swt. difitnah, dinista dan dicerca. Risalahnya ditertawa dan menjadi bahan lelucon ummat jahiliah.



2. Islam dibawa untuk menyelamatkan ummah. Risalahnya disasarkan kepada semua kecuali mereka yang tekun dan konsisten memerangi Islam. Slogan yang dibawa oleh Pendakwah Agong saw. ialah [Aslim Taslam] Terima Islam Engkau Selamat. Serendah - serendah pangkat manusia seperti lelaki gasar di padang pasir sehinggalah setinggi - tinggi pangkat manusia seperti raja di istana menjadi sasaran risalah Islam.



3. Islam didokong dan diperjuangkan dengan gigih tanpa peduli pahit getir. Islam digalas dan dipertahankan dengan tabah tanpa peduli susah sukar. Gurun sahara diredah dan lautan luas diharungi demi menyemarakan kebangkitan Islam dan mendaulatkan syariatnya. Sabar membelah masa dan merempuh waktu menanti detik janji Allah ditunaikan. Tidak mengenal erti putus asa dan kecewa.



4. Akhirnya Islam tegak berdaulat dengan bertiangkan aqidah, berdindingkan syariat, berbumbungkan jihad dan berlantaikan akhlak. Bumi diimarahkan dengan peraturan dan manhaj rabbani. Keadilan merata kepada semua tanpa membezakan latar belakang agama, bangsa, kaum dan bahasa lidah. Keamanan dan kesejahteraan dinikmati, bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang dan tumbuhan.



5. Namun Nabi saw telah menegaskan :


بَدَءَ الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بدء فطوبى للغرباء


Telah bermula Islam dalam keadaan asing , kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing [tetap bersama Islam].



6. Hari ini Islam kembali ditertawa. Syariat dan syiar Islam dipersenda. Kerja dakwah menjadi bahan lelucon. Dunia kembali menganggap pelik cara kita berjuang dan mengajak ummat manusia kembali kepada Islam dan perjuangannya. Menyeru dan mengajak orang menyertai perjuangan Islam dianggap kerja bodoh sebagaimana tanggapan ummat jahiliah. Firman Allah swt :



و إذا قيل لهم ءامنوا كما ءامن الناس قالوا أنؤمن كما ءامن السفهاء ألا إنهم هم السفهاء ولكن لا يعلمون


dan apabila diseru kepada mereka , Berimanlah sebagaimana berimannya manusia yang lain. Mereka menjawab : Apakah kami akan beriman sebagaimana berimannya orang - orang yang bodoh. Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang - orang yang bodoh akan tetapi mereka tidak mengerti.


Surah al Baqarah : Ayat 13



7. Sungguhpun Islam kembali menjadi asing dan pejuangnya ditertawa dan diperbodohkan, ianya adalah sunnah yang telah dijanjikan kebahagiaannya oleh Rasulullah saw kepada mereka yang tetap gigih berjuang, berjihad dan berdakwah. Biarpun Nabi saw telah sekian lama meninggalkan ummah, namun kesediaan para pejuang menggalas tugas besar untuk menyelamatkan manusia dari neraka Allah adalah tugas berat yang penuh dengan kemuliaan. Istiqamah dan iltizam bersama kerja - kerja amal Islami biarpun disinis dan disindir tajam, ia adalah ghuraba' yang dijanjikan kebahagiaan oleh Rasulullah saw.



8. PAS adalah Gerakan Islam yang membawa pakej perjuangan yang menarik, mengulangi pakej asal yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Pakej yang dimaksudkan ialah tarbiyah, dakwah dan siasah. Melalui pakej ini, PAS bergerak ke tengah medan lantas mengadun gerakkerja amal Islaminya secara seimbang berasas ramuan 3 elemen dari pakej tersebut.



9. Adunan 3 elemen dari pakej itulah tercetusnya pelbagai slogan seperti :


· Pemuda PAS adalah Duta Penyelamat dan Kasih sayang. Bermaksud Pemimpin dan anggota pemuda PAS turun ke medan, menyantuni masyarakat dengan penuh kasih sayang biarpun mungkin suatu masa dahulu, mereka adalah musuh kita. Mereka menentang kita dengan kejahilan dan hasad dendam yang menyelubungi jiwa mereka. Namun mereka mesti diselamatkan dari terus menjadi hamba nafsu dan syaithan yang menguasai diri mereka untuk memusuhi Islam. Pemuda PAS adalah penyelamat, lalu selamatkan seramai mungkin manusia dari api dosa yang sedang membakar mereka.



· Orang Muda Geng Kite . Adalah slogan lanjutan untuk menterjemah "Duta Penyelamat dan Kasih sayang" bagi mendekati golongan muda dari pelbagai lapisan dan latar belakang. Dari anak muda professional sehinggalah kepada anak muda yang bergelandangan. Mereka didekati oleh pemuda PAS dengan pelbagai cara dan kaedah. Tertubuhnya Alternative Riding Club [ARC] dan wujudnya aktiviti seperti Alternative Futsal Club, Alternative Band Club dan sebagainya adalah untuk melengkapkan usaha mendekati anak muda.



· Jom Sertai PAS . Juga antara slogan popular PAS untuk mendekati semua golongan masyarakat agar mereka menyertai PAS. Menyertai PAS hanya semudah mengisi borang, membayar yuran tahunan dan bersedia mematuhi perlembagaan PAS atau undang - undang tubuh PAS. Penyertaan mereka akan diperkasa dari masa ke semasa melalui proses pentarbiyahan yang wujud di dalam PAS sehinggalah akhirnya mereka menjadi seorang ahli PAS yang soleh dan berjuang. Melalui slogan ini, telah ramai tokoh - tokoh yang suatu masa dahulu sangat memusuhi PAS namun kini berjuang bersama saf perjuangan PAS. Laksana tokoh - tokoh yang menentang Nabi saw kemudiannya menerima Islam lalu gigih berjuang disamping Nabi saw. Kepada mereka Nabi saw menyebut :



خياركم في الجاهلية خياركم الإسلام إذا فقهوا


yang terpilih [hebat] di zaman jahiliah jua terpilih [hebat] di zaman Islam asal sahaja mereka memahami Islam.



· PAS For All atau PAS Untuk Semua. Sebahagian dari slogan PAS yang berjaya meletakkan PAS dihati mereka. Bukan sahaja ummat Islam mahu menyertai PAS lalu menjadi ahli yang baik, malah non muslim turut melahirkan hasrat mahu bersama perjuangan Islam lalu tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS [DHPP]. "PAS Untuk Semua" membawa maksud perjuangan PAS adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan bahasa malah juga bermaksud semua boleh menyertai PAS asal sahaja mereka bersedia untuk mematuhi dasar dan manhaj perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.



10. Alhamdulillah, melalui gerakkerja amal Islami bersandarkan slogan - slogan di atas, kini menjadikan keluarga PAS kian besar sehingga mencecah angka sejuta. Pada tahun 1985 saya menjadi ahli PAS yang ke 274,589. Kini angka keahlian tentunya telah mencecah 9 angka. Kita menyedari, ada yang menyertai PAS kemudian gugur ditengah jalan kerana gagal bertahan dengan ujian atau tribulasi perjuangan ini justeru itulah sunnatullah, namun kita jangan kecewa dan putus asa untuk terus berdakwah, menyeru dan mengajak masyarakat ummat Islam menyertai PAS dan non muslim menyertai DHPP.



Biarpun seribu manusia sedang mentertawakan gerakkerja Amal Islami yang dilakukan oleh saudara, lalu menganggap dakwah saudara sebagai suatu lelucon dan kebodohan politik, yakin lah saudara sedang menjadi manusia dagang dan asing dengan Islam yang diperjuangkan. Sedang Rasulullah saw pernah menegaskan : Berbahagialah Sang Ghuraba'



Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan



Nasrudin bin Hassan


Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia






Nak faham lebih lanjut istilah Ghuraba' ni saya pun search lah dalam Google istilahnya. Jumpe lah satu blog yang agak menarik. Petikan di bawah ni saya ambik dari blog INI.



Istilah ghuraba’ ini banyak digunakan oleh orang Islam zaman sekarang. Ghuraba’ ni bolehlah kita anggap ia sebagai orang yang ‘asing’ atau ‘ganjil’.



Asalnya istilah ini adalah dari hadis Rasulullah s.a.w :


Islam itu bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya mereka) – Hadith riwayat Muslim



Jadi siapakah ghuraba’ pada zaman sekarang ini?



Mereka ialah orang yang masih berpegang pada al-quran dan sunnah pada zaman ini. Dan selalunya orang begini akan diejek atas pegangannya.



Sewaktu praktikal tahun lepas, majikan saya pernah pelik melihat saya lalu berkata :


“Saya hairanlah tengok kamu ni. Kamu ni hidup dalam dunia moden. Dan kamu sendiri minat dengan teknologi dan IT. Macamana kamu boleh masih berpegang dan percaya pada agama Islam?”



Masa itu, saya hanya menerangkan apa yang patut.



Susah nak terang bagi dia faham semuanya memandangkan saya pun tak pandai berhujah. Lagipun, majikan saya tu atheis, tidak percaya akan kewujudan Tuhan.

0 comments:

Post a Comment

Apa komen anda...?