Sayangi Dia
Salam and good day!
Bagus sangat artikel ni saya ambik dari emel. Nice try pendekatan seorang ibu explain pada anak-anak benda yang mereka tak nampak supaya mereka lebih jelas dan faham, esp berkaitan aqidah.
22 March 2010
“Ummi, kenapa Allah beri kita sakit?” soal Kak Long perlahan ketika saya sedang memicit-micit kepalanya. Kebelakangan ini, agak kerap dia mengadu sakit kepala. Mungkin, keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan kesihatannya sedikit terganggu.
Saya menatap wajahnya yang berkerut menahan kesakitan. Sesekali dia menutup mata yang sedikit berair. Memahami ketidakselesaannya, saya mengalihkan sedikit kepala Kak Long di atas ribaan untuk mengelakkan cahaya lampu mengenai lansung ke anak matanya.
“Kenapa ya Ummi?” Kak Long membuka mata dan kembali bertanya. Saya membasahkan hujung jari dengan sedikit lagi minyak angin sambil terus memicit lembut sekitar dahi dan keningnya.
“Sebab sakit merupakan ujian. Allah nak lihat kita sabar atau tidak bila diuji dengan kesakitan,”ringkas saya memberikan jawapan.
“Kalau sabar, maksudnya kita berjayalah ye, Ummi?” Kak Long bertanya. Saya menganggukkan kepala. Jelas, dia memahami bahawa setiap yang bernama ujian merupakan penentu kepada dua kemungkinan. Berjaya atau kecundang di pengakhiran.
PELBAGAI
Saya menyudahkan urutan bila melihat Kak Long semakin tenang. Syukur, sakit di kepalanya kian menghilang.
Masih banyak tugasan lain yang perlu dibereskan. Pinggan di dapur belum dicuci. Kain di ampaian sedang menunggu untuk dilipat dan disimpan. Juga, artikel untuk pengisian di blog yang asyik tertangguh untuk disiapkan.
“Tapi..kan bagus kalau kita tak pernah sakit?” tiba-tiba Kak Long bertanya. Langkah saya terhenti mendengar soalannya kali ini. Nampaknya dia belum berpuas hati dengan penjelasan ringkas saya tadi. Saya memandang wajahnya dan kembali duduk mengambil tempat di sisi.
“Kak Long, sakit bukanlah satu-satunya ujian. Ada banyak lagi ujian yang Allah sediakan. Cuma, sebagai manusia, kita mudah memandang apa-apa yang buruk dan tidak menyenangkan sebagai ujian. Manakala setiap yang baik dan menggembirakan, kita pandang sebagai nikmat dan kebahagiaan,” saya memulakan penjelasan.
“Kak Long tak faham..” tulus dia memberi pengakuan. Mendengar itu, saya menarik nafas panjang dan dalam. Memikir-mikir perkataan yang lebih mudah. Mencongak-congak ayat sebelum diluah. Biar mudah difaham. Jelas untuk dihadam.
BENTUK-BENTUK UJIAN
Memang benar, di dalam al Quran Allah ada menyebut tentang bermacam-macam ujian ke atas manusia. Baik ianya disebut sebagai nikmat seperti pangkat, harta bertingkat, badan yang sihat dan rupa paras yang memikat; atau ianya berupa kesusahan dan musibah seperti sakit, kehilangan harta, kematian dan seumpamanya.
Semua itu adalah ujian bagi menentukan sama ada seseorang itu beriman atau sebaliknya. ALLAH SWT sebagai Pencipta semua makhluk di dunia, Maha Mengetahui keadaan manusia yang selalu lalai dan leka. Lalu, Allah menghendaki agar kita tidak tertipu dan terpengaruh dengan kenikmatan dunia serta kesenangan yang ada di dalamnya.
Kerana itu, akan ada yang lulus dari ujian ini, dan akan ada mereka yang gagal melepasinya.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
”Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). dan Hanya kepada kamilah kamu dikembalikan.” ( Surah Al Anbiya’ ayat 35 )
Secara umumnya, ada empat ujian yang diberikan Allah kepada kita :
1) Ujian mentaati perintah-Nya : Solat, puasa, membayar zakat, mengerjakan haji, menutup aurat, berkata baik dan lain-lain lagi. Setiap ibadah yang diperintahkan oleh Allah mengandungi hikmah, manfaat dan kebaikan. Akan tetapi hikmah tersebut tidak banyak disebut melainkan sedikit sahaja, sebagai ujian bagi melihat ketaatan manusia melaksanakan perintah dari-Nya. Dengan ini, akan terbukti siapa yang benar-benar mengikuti perintah Allah dan ajaran Rasulullah, dan siapa pula yang derhaka dan mengingkarinya.
2) Ujian menjauhi larangan-Nya : minum arak, mencuri, mengumpat, berbohong dan seumpamanya. Sebagaimana ibadah yang merupakan perintah Allah, setiap larangan-Nya juga mengandungi hikmah, manfaat dan kebaikan untuk manusia. Oleh kerana manusia diberikan pilihan di dalam hidupnya, maka sudah tentu sesuatu yang disenangi oleh nafsu akan menjadi pilihan utama. Tinggal lagi, keimanan di dalam jiwa membatasi manusia dari melepasi batas sempadan dan had yang ditentukan syari’at. Justeru, inilah ujian yang mesti dihadapi agar manusia tidak ditunggangi nafsu yang menipu.
3) Ujian kebaikan : anak-anak, isteri, kekayaan, sihat. Firman Allah SWT :
”Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara Isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu. Maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) Maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Surah At-Thagobun ayat 14 )
4) Ujian keburukan : miskin, sakit, kematian dan sebagainya, sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud :
”Dan sesungguhnya Kami akan memberikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah golongan yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk" ( Surah Al Baqarah ayat 155-157 ).
KEBAIKAN DAN KEBURUKAN
“Sama ada sakit atau sihat, kedua-duanya adalah ujian. Miskin atau kaya, kedua-duanya juga adalah ujian. Ringkasnya, keburukan ataupun kebaikan, dua-duanya merupakan ujian dari Tuhan. Untuk masuk ke dalam syurga Allah, kita perlu lulus semua ujian-ujian berkenaan,” berhati-hati saya menerangkan.
“Kebaikan pun ujian juga..Ummi?” Kak Long bertanya dengan kerut di dahi. Saya menganggukkan kepala sambil tersenyum melihat wajahnya. “Jangan pening lagi lepas ni, sudahlah..” saya berbisik sendiri.
“Kalau macam tu susahlah..”Kak Long berkeluh kesah.
“Senang atau susah, berat atau ringan ujian yang kita hadapi bergantung kepada bagaimana kita menghadapinya. Cuba Kak Long ingat kisah-kisah di dalam al Quran. Nabi Ibrahim yang diuji dengan perintah agar menyembelih anaknya Ismail, lulus. Rasulullah dan orang-orang Islam yang diuji dengan ejekan, pemulauan sehingga ada yang mati kelaparan juga lulus. Sebaliknya, Firaun yang diuji dengan harta dan kekuasaan, gagal. Qarun yang diuji dengan harta juga gagal,”panjang lebar saya menjelaskan.
“Kak Long kena selalu ingat, Allah beri kita bermacam-macam ujian ini bukan untuk menyusahkan. Tapi semuanya ada sebab. Antaranya, untuk melihat keimanan kita, untuk mengampun dosa, dan juga sebagai tanda Allah sayang pada kita,” ujar saya bersahaja. Kak Long diam mendengar kata-kata saya.
“Sebagai manusia kita selalu lupa. Biasanya orang yang ada banyak harta, ada kuasa, orang yang cantik jelita, orang yang sihat, tidak akan merasa bahawa mereka sedang diuji, sehingga akhirnya mereka lalai, lupa untuk bersyukur, bangga diri dan sebagainya. Kerana itu, Allah datangkan sakit atau keburukan-keburukan lain, supaya manusia kembali ingat kepada-Nya. Allah nak kita sentiasa ingat Allah baik ketika senang atau pun susah,” saya menambah sambil bangun dan berlalu ke tingkat bawah.
ANAKKU, SAYANGI DIA..
Pagi ini, sambil memasak sarapan pagi ingatan saya laju mengimbas kembali perbualan bersama Kak Long malam tadi. Saya menginsafi, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menerapkan rasa cinta anak-anak kepada Yang Maha Esa.
Penjelasan yang telah diberi harus disusuli peneguhan agar apa yang disampaikan tidak hilang dari ingatan. Tidak perlu melakukan yang sukar dan rumit. Cukup dengan sesuatu yang mudah tetapi bersifat meransang seterusnya mampu dikenang.
Lantaran itu, sebaik selesai menyiapkan sarapan dan bekal anak-anak, saya segera membuka laptop di atas meja kerja. Saya mencari laman sesawang yang menunjukkan cara-cara membuat origami.
Setelah berjaya memperolehinya, saya mengambil dua helai kertas berwarna merah muda. Saya gunting kedua-duanya menjadi bentuk segiempat sama.
Seterusnya saya mengikuti langkah demi langkah sehingga dua helai kertas berbentuk empat segi itu akhirnya membentuk dua keping hati.
Sebagai penamat, saya tuliskan di dalam ‘hati’ itu kata-kata ingatan buat renungan puteri kesayangan :
“Assalamualaikum Kak Long,
Alhamdulillah..Allah beri kita makanan, Allah beri kita kesihatan,
Allah juga menguji kita dengan kesakitan sebagai tanda Allah sayang,
Sayang Allah ye nak…ucapkan Alhamdulillah.”
Saya masukkan ‘hati’ itu bersama-sama bekalan makanan tengahari anak-anak di sekolah. Harapan dan doa saya panjatkan ke hadrat-Nya agar usaha itu mampu memutikkan rasa cinta mereka kepada Allah Yang Maha Esa, InsyaAllah.
p/s: bagus betul didikan ibu ni.. betul bak kate orang, tangan yang menghayun buaian bisa menggegar dunia! didikan ibu yang lembut dan penuh hikmah insyaAllah dapat membuatkan anak-anak lebih faham dan dapat menerima pengajaran sebaiknya. Saya pulak, tak pernah jadi ibu lagi. tapi ramai sangat anak-anak didik. insyaAllah segala ilmu dan pengalaman saya gunakan untuk menjadikan mereka ditarbiah dengan sebaiknya sepanjang mereka bersama saya insyaAllah.
0 comments:
Post a Comment
Apa komen anda...?