Ibrah Seekor Burung
Salam and good day!
Dua sifat penting yang harus ada pada seorang hamba yang bernama mukmin ialah 'khauf'(perasaan takut) dan 'rajaa' (pengharapan).
Sepertimana seekor burung yang terbang tinggi memerlukan dua sayapnya untuk merentasi langit biru, begitulah juga halnya dengan kita. Memerlukan kedua-dua sifat tadi untuk menghadapi hari-hari mendatang yang penuh dengan cabaran dan ujian.
Adakalanya,mungkin kita terlupa.
Kita terlalu bangga dengan apa yang kita telah capai dan perolehi.Sangkaan kita, dek kerna usaha yang sehabis baik itulah, kita akan memperolehi apa yang dihajati. Kita sebenarnya terlalu 'mengagung-agungkan' usaha kita tadi. Lantas apabila, natijah yang diharapkan tidak seindah yang diimpikan, kita mula lemah,longlai,hampa dan seterusnya berasa putus asa.
Lupakah kita? Bilamana Allah sendiri menyebut bahawa sesungguhnya segala yang berlaku terhadap seorang hamba itu adalah mengikut kepada sangkaannya kepada Allah?
"Aku adalah sepertimana sangkaan hamba-Ku, dan Aku bersama dengannya ketika ia mengingati Aku. Jika ia ingat kepada-Ku di dalam hatinya, Aku ingat kepadanya di dalam hati-Ku. Dan jika ia ingat kepada-Ku di khalayak ramai, nescaya Aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai lebih baik. Dan jika ia mendekati kepada-Ku sejengkal,Aku pun mendekatinya sehasta. Dan jika ia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika ia datang kepada-Ku berjalan, maka Aku datang kepadanya sambil berlari."-Hadith Qudsi riwayat Syaikhan, Tirmidzi dan Abu Hurairah R.A
Lihatlah burung!Untuk ia terbang tinggi ke udara, ia akan mengepakkan kedua sayapnya dengan saksama.Sama laju, sama kuat. Namun, tatkala ia ingin membelok ke kanan atau ke kiri, nescaya salah satu dari dua sayapnya tadi memerlukan kekuatan yang lebih berbanding sebelah sayap yang perlu direhatkan sementara bagi memandu ia ke arah yang dituju.
Begitulah juga halnya dengan kita.
Bayangkan sahaja, 2 sayap burung tadi merupakan sayap kita.Sebelahnya,merupakan sayap'usaha seorang hamba yang daif' dan sebelahnya lagi merupakan sayap 'rahmat Allah swt yang amat luas'. Ada masanya, kita perlu mengerah sepenuhnya sayap 'usaha' tadi dengan sekuat yang boleh. Lantas, selepas itu rehatkanlah ia dan gunakan pula sayap yang sebelah lagi sebaik mungkin iaitu sayap 'doa dan tawakkal'.
Mari kita muhasabah.Mungkin selama ini kita hanya bergantung kepada sayap 'usaha' tadi, tanpa kita manfaatkan sayap yang kedua. Ataupun,sebaliknya, kita terlalu bergantung kepada sayap 'doa dan tawakkal' tadi tanpa dimulai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sepertimana burung yang tidak akan mampu terbang dengan sebelah sayap, begitulah juga keadaannya dengan kita.
Oleh yang demikian, jangan biarkan sayap itu patah mahupun tercedera.Kelak, akan jatuhlah burung tadi menyembah bumi.Hargai dan manfaatkan kedua sayap tadi agar kita juga mampu terbang tinggi seperti burung tadi.
Seandainya satu saat kita merasa lelah,letih dan berasa putus asa.Maka,ucapkanlah
''Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Dialah sebaik-baik pelindung''
Sumber dari SINI.
0 comments:
Post a Comment
Apa komen anda...?