Salam and good day!
Allah punya perancangan setiap jalan dan pilihan kita.
Moga pilihan kita itu adalah pilihan terbaik mengikut redhaNya..
Jam 9.26 pagi
Dari kejauhan saya melihat beliau berdiri di sisi jalan di dalam
kawasan universiti. Langsung tiada niat untuk saya memberhentikan kereta
dan bertanya, “boleh saya bantu?”
Bila hampir, secara automatik kaki menekan brek. Lalu saya turunkan cermin sisi dan berkata, “tuan mahu ke mana?”
“Saya mahu mengambil gambar. Ke studio… saya pun tidak tahu di mana”.
“Oh… minta maaf. Saya hanya mahu ke kolej perempuan. Di hadapan itu sahaja”.
“OK… jika hantar saya ke jalan utama pun tidak mengapa. Saya boleh ambil teksi”.
Akhirnya beliau berada di sisi kanan saya.
“Jadid Taibah University” (Baru di Universiti Taibah?”)
“Saya baru sampai semalam. Hari ini lapor diri dan mereka meminta gambar pasport”.
“Dari mana? Fakulti”
“Saya dari Sudan. Fakulti Perubatan”.
“Sudan? Orang Sudan baik-baik. Saya ramai kawan Sudan. Anak-anak saya pun belajar di sekolah Sudan”.
Lalu saya terkenangkan kisah sebulan pertama di Madinah yang tidak
pernah diceritakan “kegilaan” kesusahan, ujian dan cabaran berada di
sini. Terbayang bagaimana Ayub – rakyat Sudan – membantu hampir setiap
ketika.
Saya melihat jam. Janji saya dengan Roza di sekitar jam 10.00 pagi,
“saya fikir saya sempat menghantar tuan ke studio tetapi tuan perlu
mengambil teksi untuk kembali ke sini. Tidak jauh”.
Beliau tidak henti-henti mengucapkan syukur. Malah beliau sempat
bercerita bagaimana ajaibnya beliau mendapat tawaran bekerja di Madinah
(INsyaAllah, kisah ini akan saya catatkan dalam buku terbaru nanti).
MasyaAllah, Subhnallah, Allahu Akbar.
Lalu saya melihat semula peristiwa pagi tadi dengan pandangan mudah.
Doanya dimakbul Allah. Kaedahnya adalah melalui saya yang tidak pernah
berniat untuk berhenti, bertanya dan memberikan sebarang bentuk
pertolongan.
Begitulah, Allah tidak terhitung bala tenteraNya untuk membantu
manusia yang sentiasa berdoa dan bergantung harap. Sangat jelas, ada
ketikanya Allah menghantarkan bala tenteraNya (dalam pelbagai bentuk)
untuk membantu kita.
Namun ada ketikanya kita pula digunakan untuk menjadi bala tenteraNya bagi membantu orang lain.
Di sebelah mana kita berada – ia nikmat Allah yang wajib disyukuri –
lihatlah dengan pandangan mata hati betapa Allah itu Maha Berkuasa.
Tiada satu pun yang mustahil.
Kami mohon keampunanMu ya Allah.
Artikel di copy dari
SINI.
Read More......